Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak kesal dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menurutnya seakan-akan mempertikaikan kredibiliti mahkamah dan hakim di Malaysia. – Gambar FMT

Komen bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai filem dokumentari terbitan Al Jazeera berhubung pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, adalah sama seperti menghina mahkamah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

“Mula-mula sekali mahkamah sudah pun membicarakan kes ini dan membuat keputusan.

“Adakah Dr Mahathir menyatakan mahkamah di Malaysia tidak boleh dipercayai dan hakim-Hakim di Malaysia tidak jujur?

“Jika tidak mengapa Dr Mahathir mempersoalkan mahkamah dan membuat sindiran mahkamah tidak jujur, sebenarnya sama seperti menghina mahkamah,” katanya menerusi catatan dalam blognya sskeruak.blogspot.my, semalam.

Salleh berkata Dr Mahathir harus ingat pada 1998 apabila beliau menjadi perdana menteri, dakwaan yang sama dibuat terhadapnya berhubung perbicaraan kes liwat bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“…. Dan Dr Mahathir menjawab beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada Anwar bersalah atau tidak. Malah seorang peguam yang mempersoalkan hakim didakwa kerana menghina mahkamah,” kata beliau.

Selain itu, Salleh berkata ia bukan terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membuktikan dirinya tidak bersalah seperti dicadangkan oleh Dr Mahathir.

“Ia adalah bagi mahkamah untuk membuktikan kebersalahan. Dan mahkamah pun membebaskan Abdul Razak Baginda.

“Jadi dengan apa cara lain Dr Mahathir mencadangkan supaya Najib membersihkan namanya? Adakah terdapat cara lain selain daripada melalui mahkamah?” katanya. – Bernama

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share