Peguam Datuk Ambiga Sreenevanasan bercakap pada forum ‘Malaysia: Ke mana kita pergi dari sini’ di Kuala Lumpur malam tadi. – Gambar TMI/Seth Akmal

Semakin ramai yang mengatakan Umno melanggar undang-undang anti rasuah apabila menggelarkan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai sumbangan derma, kali ini ia disuarakan peguam terkemuka Datuk Ambiga Sreenevasan.

Bekas pengerusi Majlis Peguam itu berkata, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, takrif suapan dalam Seksyen 50 termasuk derma.

Seksyen ini menyatakan, sebarang bentuk suapan dianggap diterima sebagai rasuah, melainkan jika dibuktikan sebaliknya, katanya.

Ini bermakna, bebannya terletak kepada penerima wang itu untuk menyangkal sebarang unsur rasuah.

“Mereka memburukkan lagi keadaan untuk diri mereka sendiri apabila menggunakan istilah derma. Ini memang betul ‘red flag’ (amaran bahaya),” kata Ambiga pada satu forum bertajuk ‘Malaysia: Ke mana kita pergi dari sini’ di Kuala Lumpur malam tadi.

SPRM mengisytiharkan wang RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun Najib adalah sumbangan derma dan bukannya wang daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ia juga mengesahkan pendermanya ialah dari Timur Tengah tetapi tidak menamakan sumber itu. Bagaimanapun, agensi itu semalam berkata, ia akan meminta Najib untuk memberikan penjelasan mengenai sumbangan itu.

Semalam Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, Najib perlu disiasat SPRM kerana menerima sumbangan itu.

Rafizi menyebut Seksyen 3 Akta SPRM yang menyatakan, seorang pegawai awam tidak dibenarkan menerima suapan dalam apa jua bentuk.

Maksud “suapan” di bawah akta itu juga termasuk “derma” dan “hadiah”.

Kenyataan ini dibuat ketika penyokong Najib dalam Umno berkata derma itu wajar atas alasan perdana menteri memerlukannya untuk membiayai kempen parti pemerintah Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

Ambiga berkata jika dana tersebut digunakan untuk pilihan raya, mungkin ada alasan untuk membawa BN ke mahkamah kerana menggunakan sejumlah besar wang untuk mempengaruhi pilihan raya.

Seorang lagi ahli panel forum itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua, mempersoalkan sama ada Najib “menjual negara” bagi mendapatkan wang itu.

“Mengapa seorang penderma Timur Tengah akan memberi perdana menteri RM2.6 bilion untuk pilihan raya tempatan? Adakah wang ini percuma? Najib tidak akan beritahu,” katanya.

Pua berkata terdapat “double-standards” dalam tanggapan terhadap parti politik yang menerima sumbangan derma dari luar.

Katanya, jika DAP yang melakukannya pasti parti pembangkang itu akan diburu dan dilabel sebagai pengkhianat kepada negara.

“Malah, kalau kita terima RM26,000 daripada Singapura pun, habislah kita. Kita akan dituduh sebagai pengkhianat yang ditaja orang luar,” katanya. – The Malaysian Insider

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE