Penyiasat berharap akan siasatan ke atas serpihan yang ditemui di Pulau Reunion, berhampiran Madagascar dapat mengesahkan jika ia benar-benar berpunca daripada pesawat MH370.

Pengkaji biologi marin di Australia berpendapat, organisme teritip yang terbentuk di objek logam berkenaan dapat memberi petunjuk ke atas persoalan tersebut.

Ini memandangkan, objek yang ditemui itu sudahpun disahkan berpunca dari satu pesawat Boeing 777 – model yang sama seperti pesawat MH370.

Seorang profesor Jabatan Sains Biologi di Macquarie University, Melanie Bishop berkata, usia teritip tersebut dapat menentukan berdasarkan kadar pertumbuhan dan saiznya.

Jika teritip pada serpihan tersebut lebih tua daripada tarikh pesawat MH370 hilang, bermakna serpihan itu bukan berasal dari pesawat berkenaan, katanya seperti dilaporkan Reuters.

Pihak berkuasa Malaysia semalam mengesahkan bahawa serpihan dengan saiz sehingga 2.5 meter panjang itu merupakan salah satu bahagian pesawat MH370.

Objek yang ditemui di pulau jajahan Perancis itu kini berada di tangan penyiasat negara berkenaan. Mereka dijangka akan dapat memberi laporan menjelang Rabu.

Penerbangan MH370 lenyap dari imbasan radar pada kira-kira tengah malam 8 Mac tahun lepas ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pada 29 Jan tahun ini, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia mengumumkan bahawa kehilangan pesawat itu adalah satu kemalangan berdasarkan peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 orang di dalamnya dianggap terkorban. – Malaysiakini

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share