Adam Adli Abdul Halim bersama anggota lain gabungan ‘Demi Malaysia’ pada sidang media hari ini. Gabungan itu nekad mengeruskan perhimpunan 1 Ogos mendesak perdana menteri meletak jawatan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim

Gabungan kumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka “Demi Malaysia” akan meneruskan perhimpunan di Kuala Lumpur 1 Ogos ini bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Jurucakapnya, Adam Adli Abd Halim berkata amaran Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam menghalang perhimpunan itu disifatkan sebagai taktik menghalang anak muda berhimpun mendesak Najib meletak jawatan.

“Sehingga hari ini, perdana menteri Malaysia masih gagal menjawab persoalan bagaimana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat menyelesaikan hutang yang ditanggung syarikat itu berjumlah puluhan bilion ringgit.

“Menyedari keperluan mendesak untuk menyelamatkan negara dan membebaskan rakyat daripada terus terjerumus ke dalam ketidaktentuan ekonomi, politik dan sosial, maka anak muda sepakat menuntut Najib meletak jawatan sebagai perdana menteri serta merta.

“Demi Malaysia menyeru seluruh anak muda dan rakyat Malaysia untuk sama-sama hadir ke satu himpunan aman yang akan diadakan pada 1 Ogos ini di hadapan pusat beli belah Sogo jam 2 petang,” katanya pada satu sidang media di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Audio perbincangan ‘tangkap Najib’ pula muncul, MB Negeri Sembilan nafi. – Klik sini dengar audio

Adam berkata pihaknya menyasarkan lebih 500 orang akan menyertai himpunan itu dan menggesa peserta mengenakan pakaian berwarna putih.

Katanya, himpunan di Kuala Lumpur sudah biasa berlaku dan ia dapat dilihat berlaku secara aman tanpa mengganggu keharmonian negara.

“Ini adalah hak yang dijamin dalam Perlembagaan. Tidak perlu bagi kami minta permit dan sebagainya.

“(Desakan polis) hanyalah taktik pihak berkuasa menghalang orang daripada mengikut protes ini. Tidak ada sebarang rancangan yang menyalahi undang-undang. Semuanya seperti biasa.

“Demonstrasi bukan perkara asing di Kuala Lumpur. Protes dari besar ke kecil semua sudah dilalui. Kita tahu tak ada perkara buruk, keharmonian dan keselamatan tidak terganggu,” katanya.

Beliau berkata kenyataan Khalid semalam dianggap ketinggalan zaman dan pihaknya bersedia memberi kerjasama dengan polis jika diperlukan.

“Kita faham protes ini satu proses demokrasi terutama rakyat Malaysia yang tidak mempunyai peluang berucap di Parlimen dan sebagainya.

“Ini adalah platform untuk orang biasa bercakap,” katanya.

Sementara itu, aktivis Safwan Anang yang turut hadir pada sidang media itu berkata himpunan pada Sabtu ini sebagai permulaan kepada himpunan yang lebih besar yang akan diadakan pada minggu-minggu berikutnya.

“Kita mulakan demo 1 Ogos sebagai permulaan kerana semalam Bersih 2.0 berkata akan mengadakan himpunan yang lebih besar.

“Kita jadikan 1 Ogos sebagai momentum rakyat yang sedang marah terhadap apa yang berlaku,” katanya.

Khalid semalam memberi amaran keras kepada penganjur protes yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu ini supaya jangan menggugat keselamatan negara.

Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang dengan mengajak rakyat ke jalanan untuk menjatuhkan kerajaan seperti mana yang mahu dicapai penganjur protes itu.

Khalid berkata maklumat mengenai protes itu yang tersebar menerusi media sosial juga akan disiasat pihaknya dan mengingatkan penganjur supaya segera menafikan perkara tersebut jika ia tidak benar.

“Kita ada undang-undang dan bukan boleh buat sembarangan untuk jatuhkan kerajaan. Kita ada cara ikut perlembagaan untuk tukar kerajaan, itu peringatan saya yang terakhir,” katanya.

Khalid berkata sekiranya penganjur protes itu masih tidak mahu bertanggungjawab tentang penyebaran maklumat mengenainya, siasatan akan dijalankan dan mereka bakal berdepan tindakan tegas oleh polis.

Katanya, sebarang perhimpunan di negara ini boleh dianjurkan namun mereka mesti patuh kepada Akta Perhimpunan Aman 2012. – The Malaysian Insider

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE