Tindakan beberapa Umno bahagian membatalkan jemputan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana bimbang ucapan berapi Muhyiddin semasa perasmian Umno Bahagian Cheras berulang lagi. – Gambar The Malaysian Insider, 29 Julai, 2015.

Keretakan di peringkat akar umbi Umno tidak dapat ditolak bakal berlaku, bermula dengan mesyuarat bahagian di mana Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijemput untuk merasmikannya, kini dibatalkan.

Sebaik pengumuman pemecatan Muhyiddin daripada Kabinet semalam, Umno Bahagian Raub di Pahang juga membuat keputusan membatalkan perasmian yang sepatutnya dilakukan timbalan presiden parti tersebut.

Sumber dalaman parti berkata, keputusan tersebut dibuat kerana bimbang ucapan berapi Muhyiddin semasa perasmian Umno Bahagian Cheras berulang lagi, di mana kritikan pedas dilontar ke atas pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

“Kami bimbang dilihat akan berlawan arus selepas rombakan kabinet. Bagaimana jika ucapan berapi yang sama semasa Bahagian Umno Cheras? Itu kami bimbang,” kata sumber parti itu kepada The Malaysian Insider.

Bekas timbalan perdana menteri itu dijadual merasmikan mesyuarat tersebut pada 15 Ogos ini atas jemputan yang dibuat Umno bahagian Raub itu.

Sementara itu, Umno Bahagian Batu Gajah dan Ipoh Barat juga kini membatalkan jemputan mereka kepada Shafie, yang juga naib presiden Umno, yang sepatutnya merasmikan mesyuarat itu hujung minggu ini.

Ibu pejabat Umno Bahagian Batu Gajah yang dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan keputusan tersebut dan jurucakapnya memberitahu ia dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa yang berlaku.

“Kami pun tidak tahu perkara ini berlaku, tapi untuk mengelak salah tafsir mana-mana pihak, kami batalkan,” kata sumber parti di Batu Gajah itu.

Sumber itu menafikan arahan dikeluarkan penyokong atau wakil Najib, selaku presiden parti, supaya mereka membatalkan jemputan tersebut.

“Tiada arahan mana-mana pihak. Keputusan kami buat selepas bermesyuarat dan mengambil kira pandangan semua jawatankuasa bahagian,” katanya.

Dengan pemecatan 2 pemimpin utama Umno tersebut daripada jemaah menteri, penyokong parti utama kaum Melayu itu dilihat berada dalam keadaan berbelah bahagi untuk sama ada bersama Najib atau Muhyiddin.

Pemerhati politik Umno, Shahbudin Husin yang juga ahli parti berkata, isu yang timbul adalah mengenai status Muhyiddin yang masih timbalan presiden dan Shafie yang masih naib presiden parti.

“Mereka masih pemimpin Umno, kami hormati mereka berdua. Tetapi dengan kemelut ini, kami perlu dilihat tidak menyebelahi mana-mana pihak,” katanya.

Shahbudin bagaimanapun berkata, situasi akan berubah jika Najib tiba-tiba menyingkirkan Muhyiddin dan Shafie daripada parti sama sekali.

Namun, bukan mudah untuk Najib melakukannya kerana ia situasi yang berbeza dengan ketika berlaku pemecatan ke atas bekas Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Situasi sekarang lain, Najib tidak mempunyai alasan kukuh untuk memecat Muhyiddin dan Shafie.

“Melainkan beliau ada kes dan alasan besar,” kata Shahbudin. – The Malaysian Insider

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE