Peguam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang meneliti kemungkinan saman fitnah terhadap The Wall Street Journal. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Julai, 2015.

Segala kemungkinan sedang diteliti dalam usaha memfailkan saman fitnah terhadap The Wall Street Journal (WSJ) yang tidak berganjak dengan laporannya mengenai berbilion ringgit dimasukkan ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata peguam Wan Azmir Wan Majid.

“Kami akan berjumpa anak guam kami (Najib) dalam masa terdekat untuk memberi penjelasan dan mendapatkan arahan daripadanya,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Katanya, semua kemungkinan dilihat dan Najib akan diberi nasihat sewajarnya, namun enggan mengulas lanjut kerana perkara itu “terlalu awal”.

Wan Azmir ditanya tentang langkah selanjutnya yang diambil selepas WSJ dan penerbitnya, Dow Jones & Company, dalam jawapan balasnya mempertahankan laporannya yang menunjukkan sejumlah AS$700 juta (RM2.67 bilion) masuk ke dalam akaun peribadi Najib.

Peguam daripada firma Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada 8 Julai lalu menghantar surat kepada WSJ dan Dow Jones meminta penjelasan sama ada laporan mereka mendakwa Najib menyalahgunakan dana.

WSJ membalas dan berkata, tidak perlu pengesahan kerana laporan berita dan tulisan pendapat itu “memberi penjelasan dengan sendirinya”.

The Malaysia Insider juga difahamkan, dua peguam kanan Datuk Mohd Hafarizam Harun dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin kini berada di luar negara dalam misi mencari jalan untuk anak guamnya menyaman WSJ.

Peguam Alliff Benjaamin Suhaimi yang mewakili ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam saman berlainan oleh Najib berkaitan isu 1MDB berkata, firma itu menulis surat kepada Mahkamah Tinggi minggu lalu untuk mengosongkan jadual pendengaran pada Rabu lalu kerana dua peguam itu ada urusan lain.

“Surat yang juga dihantar kepada firma kami menyatakan peguam mereka akan berada di luar negara mengendalikan hal WSJ,” Alliff memberitahu The Malaysian Insider.

Peguam lain ketika ditanya The Malaysia Insider berkata, Najib mempunyai pilihan sama ada memfailkan saman di Malaysia atau tempat lain di mana laporan itu diterbitkan.

Penangguhan perdana menteri mengambil tindakan undang-undang akan dilihat jika laporan berita yang dibuat pada 2 Julai dan ruangan pendapat pada 6 Julai lalu itu sah, yang dikatakannya berdasarkan sumber dokumen penyiasat Malaysia.

Peguam SN Nair berkata, Najib juga boleh memfailkan tindakan di Amerika Syarikat atau Hong Kong tetapi mesti menghantar dahulu perintah kehakiman tempatan.

Katanya, dua lokasi dipilih memandangkan laporan WSJ mungkin diterbitkan dari tempat lain. WSJ berpusat di Amerika Syarikat dan memiliki pejabat cawangan di Hong Kong.

“Beliau perlu melantik penasihat di negara terbabit kerana peguam Malaysia tidak ada hak untuk mewakili Najib di sana.”

Kemungkinan lain adalah perdana menteri perlu memfailkan tindakan terhadap WSJ di Malaysia dan mendapatkan perintah kebenaran mahkamah mengemukakan surat mahkamah kepada penerbit.

Nair berkata, dirinya menjangkakan akhbar dan penerbit memberi respons kepada cabaran undang-undang di Malaysia dengan melantik peguam tempatan.

“Tidak terfikir sama sekali penerbit enggan melayan saman kerana kredibilitinya juga dipertaruhkan.”

Katanya, walaupun perdana menteri mempunyai masa enam tahun memfailkan saman fitnah tetapi beliau tidak boleh menunggu terlalu lama.

“Bisanya akan hilang jika ditangguhkan kerana reputasi perdana menteri tercalar.”

Kritikan itu memaksa Najib menyaman WSJ bagi menepis dakwaan terhadapnya dan kini menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melihat sejauh mana beliau memberi responsnya.

Perdana menteri sehingga kini menafikan mengambil dana 1MDB untuk kepentingan peribadi namun tidak menyatakan secara langsung tentang dana yang dipindahkan ke akaun peribadinya.

Najib dan pejabatnya juga menganggap dakwaan itu sebagai sabotaj politik.

Najib juga menyalahkan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkonspirasi dengan pihak asing untuk menjatuhkan pentadbirannya. – The Malaysian Insider

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share