Norsiah Mohamad ibu remaja 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, yang mati terkena tembakan lima tahun lalu. – Gambar Media Rakyat

Hari ini genap lima tahun pemergian arwah anak kesayangan saya Aminulrashid Amzah. Masa begitu pantas berlalu tapi kejadian tembakan masih segar dalam ingatan saya. Mana mungkin saya lupa peristiwa pahit itu. Saya akan ingat kejadian ini sampai akhir hayat saya.

Kehilangannya cukup terasa. Saya rindu dengan gelak tawanya, gurau senda dengan adik-beradiknya usikan nakal terhadap anak saudaranya, gelagat lincahnya bila dia menari. Semua itu masih terbayang dalam ingatan saya.

Ya Allah. Apa dosa dia hingga ditembak bertubi-tubi dengan berpuluh-puluh butir peluru dilepaskan. Dia bukan penjenayah, bukan penyamun. Anak sebaik ini difitnah, diaibkan, dimalukan satu negara. Pandang dan tenung wajahnya. Adakah rupa arwah seorang penjenayah?

Saya cukup terkilan sekali sewaktu saya pergi ke Hospital Tengku Ampuan Rahmah untuk buat pengecaman pukul 12 tengahari ke sana (ke bilik mayat) tapi tak dibenarkan petugas masuk ke situ.

Apa yang menyedihkan hati saya bila bulletin 1.30 tengahari TV3, polis bagi statement maut – seorang remaja penjenayah-penyamun mati ditembak. Memang kejam!!!

Siasat belum lagi, bicara pun belum tapi hukuman sudah dijatuhkan.

Siapa penjenayah sebenarnya – Aminul Rashid atau? Banyak pembohongan dan penipuan.

aminul rasyid

1) Polis dapati ada parang dalam kereta. Parang panjang yang dah berkarat. Tapi waktu kami ke – IPK Seksyen 8 polis tunjuk parang lain yang mempunyai dua mata – berkilat lagi – munasabah ke?

Kalau nak menipu tu agak-agaklah.

2) Masa polis pulangkan handphone arwah semua panggilan dan SMS saya dipadamkan.

Macam kejadian arwah ada gunakan telefon rumah kira-kira jam 7.30 malam. Tapi no panggilan tidak tercatit dalam bil telefon.

Saya tanya pihak Telekom sampai hari ini bisu tiada jawapan. Semua bersekongkol.

Macam-macam fitnah, cemuhan yang dilemparkan pada arwah dan keluarga saya.Tuhan maha adil suatu hari pasti kebenaran akan datang jua.

Dalam perbicaraan yang lalu peguam Koperal Jenain Subi ada menyatakan saya bersetuju dengannya yang Jenain tidak tahu, kereta itu dipandu seorang kanak-kanak (memang Jenain nampak arwah dari arah belakang.)

1) Di sini saya nak tanya – Arwah rebah atas riba Azam, tangannya bersilang pada gear kereta, dan kakinya masih di pedal. Macam mana waktu pegawai forensik tiba kedudukannya berubah? Mukanya tertangkup di kerusi pemandu, badan dan kakinya terjulur ke tanah?

2) Kenapa kepala yang kena tembakan penuh dengan rumput?

Ada tiga belas kecederaan dan kesan lebam-lebam sedih dan pilu hati saya. Anak yang tidak bernyawa lagi diperlaku begitu. Dah tahu dia kanak-kanak kenapa kejam sangat?

Saya tahu, arwah diterajang, dipijak-pijak dan ditendang secukupnya.

Mereka lakukan kekasaran dan kejaman terhadap arwah.

Kenapa tapak kasut salah seorang anggota polis itu tertanggal. Boleh tak bagi jawapan.

Ingat ya! Allah melihat segala tindak tanduk kita. Pangkat kedudukan kita, rezeki yang kita terima datang dari siapa? Ingat satu hari kita juga akan mati.

3) Saya minta orang di luar sana jangan suka buat fitnah terhadap arwah, buat cerita yang bukan-bukan mereka bukan duduk serumah denga arwah. Tak perlu cerita yang mengarut.

Kalau nak tahu siapa arwah yang sebenar biarlah saya terangkan di sini.

1) Seorang anak yang taat pada suruhan Allah
2) Tegas dan matang dalam segala hal
3) Jujur dan ikhlas dalam pergaulan
4) Ceria lincah dan bijak
5) Bijak dalam pelajaran
6) Benci dengan orang yang sombong

Kegemarannya:

1) Suka bermain bola sepak
2) Suka baca novel triller (Ramly Awang Mursyid)
3) Aktif koko kecuali bermain hoki
4) Suka game PS1-PS2 (terutama lumba kereta)

Jangan buat andaian yang bukan.

Ya Allah! Tempatkanlah anakku bersama-sama orang yang soleh. Bahagialah kamu di jannah sana. Amin!!! – 13 Julai, 2015.

* Norsiah Mohamad merupakan ibu kepada Aminulrasyid Amzah, mangsa tembakan polis pada 2010 dalam kejadian di Shah Alam, Selangor.

* Sumber: Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider

Laporan BERNAMA kes saman Aminulrasyid:

SHAH ALAM 09 March 2015. Norsiah Mohamad, 63, hadir bagi perbicaraan kes saman keluarga remaja 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, yang mati terkena tembakan lima tahun di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam. NSTP/Roslin Mat Tahir.
SHAH ALAM 09 March 2015. Norsiah Mohamad, 63, hadir bagi perbicaraan kes saman keluarga remaja 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, yang mati terkena tembakan lima tahun di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam. NSTP/Roslin Mat Tahir.

SHAH ALAM: Ibu Aminulrasyid Amzah, remaja lelaki yang maut ditembak polis hampir lima tahun lalu, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini dia ingin menuntut keadilan untuk anaknya yang didakwa dibunuh kejam serta menyalahi undang-undang pada usia 15 tahun.

Dalam pernyataan saksinya, Norsiah Mohammad, 66, berkata defendan pertama, Korporal Jenain Subi telah melakukan serang dan sentuh ke atas anak bongsunya itu yang tidak melakukan sebarang bentuk jenayah bagi mewajarkan penggunaan senjata api ke atasnya.

Mengenai reaksi pihak polis terhadap kejadian itu, beliau berkata pihak polis memberi liputan meluas mengenai kematian Aminulrasyid sehari selepas kejadian tembak itu yang berlaku pada 26 April 2010.

“Defendan ketiga, Ketua Polis Selangor Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini Ketua Polis Negara) menyatakan bahawa anak saya cuba merempuh anggota polis dan ini mewajarkan anggota polis menembak mati anak saya.

“Tambahan pula, anggota polis juga mengeluarkan kenyataan terdapat sebilah parang yang dijumpai di dalam kereta arwah dan beliau disyaki sebagai seorang penyamun,” katanya pada hari pertama perbicaraan kes saman yang difailkan Norsiah dan anak sulungnya Nor Azura, 45, terhadap Jenain, Khalid serta tiga yang lain.

Kedua-dua plaintif itu yang turut menamakan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan dan menuntut ganti rugi hampir RM50 juta atas alasan kematian Aminulrasyid berpunca daripada kecuaian Jenain.

Pada November 2013, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid ketika mengejarnya di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.

Ketika membebaskan Jenain pada 2012, Mahkamah Tinggi memutuskan Jenain tidak berniat menyebabkan kematian Aminulrasyid, tetapi menembak kereta yang dipandu remaja itu dengan tujuan menghentikannya.

Ketika disoal balas peguam Zulkifly Omar yang mewakili Jenain, Norsiah bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa walaupun Aminulrasyid tidak melakukan jenayah tetapi tindakannya melarikan diri daripada polis adalah satu kesalahan.

Saksi pertama plaintif itu juga bersetuju dengan cadangan Zulkifly bahawa apabila Jenain mengejar kereta yang dipandu Aminulrasyid, anggota polis itu tidak tahu bahawa kereta itu dipandu oleh seorang kanak-kanak.

“Jika puan sedang pandu kereta dan ditahan polis, apa puan akan buat?,” soal Zulkifly dan Norsiah menjawab: “Saya akan berhenti”. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung esok. – BERNAMA

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share