DAP pertikaikan alasan Presiden 1Malaysia Development Berhad Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang gagal hadir prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada Selasa lalu. – Gambar Malaysiakini

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini mempersoalkan alasan Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy tidak menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Selasa.

Beliau bertanya Arul berada di mana pada ketika itu apabila beliau memberi alasan berada di luar negara dan tidak dapat menghadiri pendengaran PAC di Parlimen berhubung isu membabitkan syarikat milik Kementerian Kewangan tersebut.

“Saya mahu presiden 1MDB, Arul dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, beritahu kami, ke mana mereka ketika PAC panggil untuk prosiding.

“Mereka beritahu kami, ada mesyuarat di luar negara. Kami tidak berpeluang bertanya lanjut,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Pengurusan atasan 1MDB itu sebelum ini menafikan mereka sengaja enggan menghadiri prosiding PAC yang dijadualkan lebih awal, sebaliknya mengatakan dalam satu kenyataan kemudiannya yang mereka “menunggu peluang” menceritakan kedudukan mereka.

Baca: Tun M minta BNM jangan lindungi 1MDB 

Arul juga sebelum ini memberi jaminan akan bekerjasama penuh sepanjang siasatan dan beliau bersama Shahrol akan hadir memberi keterangan kepada PAC pada tarikh yang ditetapkan kemudian selepas PAC membenarkan permohonan penangguhan mereka.

“Seperti disahkan pengerusi PAC terdahulu hari ini, tarikh kehadiran sedang dimuktamadkan kerana tarikh awal yang dicadangkan sebelum ini bertembung dengan komitmen jadual di luar negara dibuat sebelum ini.

“Kedua-dua Arul dan Shahrol menunggu masa untuk tampil di hadapan jawatankuasa itu dan berpeluang menjelaskan kedudukan 1MDB,” kata Arul dalam satu kenyataan ringkas.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, kedua-dua pihak memohon penangguhan kepada pendengaran.

Shahrol merupakan CEO 1MDB daripada Januari 2009 sehingga Mac 2013, manakala Arul dilantik ke dalam syarikat itu bermula awal Januari tahun ini.

Mereka merupakan saksi penting dalam siasatan PAC ke atas syarikat milik Kementerian Kewangan itu, yang menanggung hutang RM42 bilion dalam masa enam tahun beroperasi.

Susulan kegagalan mereka hadir, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa Kabinet memecat semua lembaga pengarah 1MDB atau ia sendiri meletak jawatan.

Jawatankuasa Parlimen bebas yang dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang itu mula mengadakan pendengaran minggu lepas selepas membuat keputusan tidak menunggu siasatan bebas yang dijalankan ketua audit negara selesai. – The Malaysian Insider

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share