Ahli kabinet yang tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap Perdana Menteri wajar meletak jawatan supaya beliau bebas untuk melantik ahli-ahli baru yang berkongsi visi dan misinya, kata Dr. Mohd Salleh Said Keruak. – Gambar Free Malaysia Today

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya kabinet menyatakan pendirian mereka dalam menangkis serangan yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Said Keruak, berkata barisan jemaah kabinet dilantik oleh Perdana Menteri dan ia berfungsi mengikut kehendak beliau.

Menurut beliau, Perdana Menteri mempunyai hak untuk merombak, menggugurkan sesetengah ahli kabinet dan melantik muka-muka baru.

“Oleh itu, wajar bagi mana-mana ahli kabinet yang tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap Perdana Menteri meletak jawatan supaya beliau bebas untuk melantik ahli-ahli baru yang berkongsi visi dan misinya.

“Ini adalah semangat sistem berkerajaan Westminster di mana kabinet bekerja dengan Perdana Menteri atau meletak jawatan kerana mereka tidak boleh kekal dan pada masa yang sama mempunyai pendapat yang bertentangan,” katanya dalam laman blognya, SSK hari ini.

Tambah bekas Ketua Menteri Sabah itu lagi, ahli-ahli kabinet berkongsi tanggungjawab bersama ke atas semua keputusan yang telah dibuat.

Jelasnya, mereka tidak boleh kemudian mengatakan bahawa ini adalah keputusan Perdana Menteri dan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Katanya, mereka perlu menunjukkan ketidaksetujuan itu dengan meletak jawatan dan bukan dengan berdiam diri serta kemudian menafikannya kemudian.

“Apabila Tun Dr. Ismail Abdul Rahman tidak bersetuju dengan keputusan Tunku Abdul Rahman mengenai pelbagai isu, beliau meletak jawatan daripada kerajaan.

“Tan Sri Shahrir Samad mempunyai perbezaan pendapat dengan dua Perdana Menteri dan apabila beliau tidak lagi boleh bersetuju dengan mereka, beliau meletak jawatan serta enggan menyertai Kabinet apabila ditawarkan jawatan.

“Di Malaysia tindakan berkenaan tidak begitu diamalkan, tetapi di negara-negara lain adalah sangat biasa bagi seseorang untuk meletakkan jawatan jika tidak boleh bersetuju dengan dasar-dasar atau tindakan Perdana Menteri,” ujarnya. – The Rakyat Post

[signoff2]

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share