Seperti yang diramalkan berbulan lama, PKR menamakan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang akan dipertandingkan 7 Mei ini.

Pengumuman yang ditunggu-tunggu itu dibuat timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali jam 11.20 malam ini di dewan yang dipenuhi ahli politik Pakatan Rakyat (PR), penyokong dan pengamal media di SP Arena di Seberang Jaya.

Majlis itu turut dihadiri pemimpin atasan PR dari ketiga-tiga PKR, PAS dan DAP.

PKR diwakili antaranya oleh Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, Dr Xavier Jayakumar, Chua Tian Chang dan Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Majlis Pimpinan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Antara yang mewakili DAP ialah pemimpin tertinggi termasuk Setiausaha Agung Lim Guan Eng, Pengerusi Negeri Chow Kon Yeow, Ketua Wanita Chong Eng, dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh Steven Sim.

PAS diwakili Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Pengarah Pilihan Raya Pusat Dr Mohd Hatta Ramli, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin – semuanya memberi jaminan akan berdiri teguh menyokong kempen PR.

Dr Wan Azizah akan ditentang calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin, 43, seorang pengarah urusan syarikat pembinaan dari Guar Perahu, Permatang Pauh.

Beliau juga dijangka berdepan seorang calon bebas, Dr Abdullah Zawawi Samsudin, 47, seorang pengamal perubatan, yang pada pilihan raya umum lepas hilang wang deposit dalam pertandingan 3 penjuru bagi kerusi Permatang Pauh itu.

Ini kali kedua wanita bersuara lembut Dr Wan Azizah, 62, mengambil tempat suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyandang ahli Parlimen kawasan itu, untuk mempertahankan kubu kuat PKR di Pulau Pinang itu. – Baca lanjut di TMI

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share