Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat jangan mudah terpengaruh dengan fitnah terhadap perdana menteri dan mengaitkannya dengan pembangkang. – Gambar TMI

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai fitnah dilemparkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata Najib merupakan pemimpin berjiwa rakyat yang sentiasa mengutamakan keperluan rakyat dan tidak hairan sekiranya parti pembangkang atau golongan tertentu yang tidak menyukai cara perdana menteri itu mewujudkan pelbagai cerita fitnah.

“Najib melakukan segalanya berdasarkan keperluan rakyat dan apabila beliau berbuat demikian, ini merisaukan pembangkang dan sebab itu mereka akan menggunakan pelbagai cara mempengaruhi minda rakyat antaranya dengan cara fitnah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata pelbagai isu termasuk dakwaan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diputar belit pihak tertentu dalam usaha mempengaruhi minda rakyat.

Baca: Apa kata Tun Daim Zainuddin veteran UMNO

“Sebagai contoh kalau perdana menteri takut dengan isu 1MDB, beliau tidak akan bagi kepada PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) atau ketua audit negara untuk meneliti (dan menyiasat) isu 1MDB kerana PAC di dalamnya terdiri daripada ahli Barisan Nasional (BN) serta parti pembangkang,” katanya.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan GST antara lain bertujuan mengekang peniaga daripada mengelak untuk membayar cukai.

“Kalau dulu peniaga boleh menipu untuk mengelak membayar cukai tapi kini dengan adanya GST, transaksi direkodkan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin sewaktu berucap pada majlis pelancaran program Jom Bertani dan Pertanian Bandar di Ulu Seberang, Putatan, berkata, Najib merupakan pemimpin yang sentiasa mendengar pandangan rakyat malah seorang yang mengenang budi.

“Sabah bagi banyak kerusi kemenangan kepada BN dan beliau (Najib) bagi kita (kerajaan Sabah) pelbagai projek untuk dilaksanakan demi kepentingan rakyat di sini,” katanya. – Bernama

[signoff1]

 

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share