Pekerja dalam industri perkhidmatan hanya dibayar antara RM350 dan RM1,200 sebulan dan caj perkhidmatan sebanyak 10% yang dikutip daripada pelanggan adalah untuk menambah upah mereka. – Gambar fail The Malaysian Insider

Kesatuan kebangsaan yang mewakili pekerja dalam industri perkhidmatan menegaskan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap majikan yang tertakluk di bawah perjanjian bersama sekiranya mereka berhenti mengenakan caj perkhidmatan 10% ke atas pelanggan.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Hotel, Kelab Malam dan Restoran Rusli Affandi berkata, menjadi kewajipan kepada majikan mengutip cukai itu yang menjadi sebahagian daripada upah ahlinya.

“Majikan perlu mengutip yuran perkhidmatan daripada pelanggan. Jika tidak, mereka melanggar perjanjian bersama,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Rusli berkata demikian ketika mengulas mengenai pelanggan kedai makan yang mempersoalkan caj perkhidmatan 10% yang dikenakan selepas cukai barangan dan perkhidmatan 6% (GST) diperkenalkan pada 1 April lalu.

Beliau berkata, hanya kira-kira 12,000 pekerja dalam industri perkhidmatan berdaftar sebagai ahli kesatuan tetapi jumlah tenaga kerja dalam industri itu di Semenanjung berjumlah kira-kira 100,000 orang.

Rusli berkata, pekerja dalam sektor ini dibayar antara RM350 dan RM1,200 sebulan dan caj perkhidmatan itu dikutip daripada pelanggan untuk menambah upah mereka.

Daripada caj perkhidmatan ini, pekerja dapat memperoleh pulangan tambahan antara RM800 dan RM1,500 sebulan.

“Caj 10% itu akan dimasukkan ke dalam satu tabung dan diagihkan kepada pekerja mengikut formula yang ditetapkan dalam perjanjian bersama,” katanya.

Rusli berkata, tanpa caj perkhidmatan itu, pekerja terbabit akan memperoleh pendapatan yang rendah walaupun kerajaan memperkenalkan gaji minimum RM900 bulanan.

Beliau berkata, ketika musim puncak, majikan boleh mengutip antara RM40,000 dan RM100,000 dalam bentuk caj perkhidmatan.

“Daripada 10% itu, majikan mengambil 1% untuk caj pentadbiran manakala 9% lagi pergi kepada pekerja,” katanya.

Caj perkhidmatan diperkenalkan dalam industri hotel bagi menggantikan “tip” untuk pekerja individu.

Pada Isnin, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Alias Ahmad berkata, dengan pengenalan GST, restoran dan hotel tidak lagi dibenarkan mengenakan caj perkhidmatan kecuali mereka mempunyai perjanjian bersama antara majikan dan pekerja.

Beliau juga berkata, restoran diwajibkan mempamerkan notis jika mereka mahu mengenakan caj perkhidmatan sehingga kerajaan memutuskan langkah untuk mengawal selia kutipan caj itu.

Alias berkata, mana-mana pihak yang tidak mempunyai perjanjian bersama, tetapi tetap mengenakan caj berkenaan, akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Akta Antipencatutan atau Akta Perlindungan Pengguna.

Sementara itu, peguam Ragunath Kesavan berkata majikan yang mempunyai pekerja tidak berdaftar dengan kesatuan pekerja juga berhak mengutip caj perkhidmatan yang disediakan sebagai faedah kewangan kepada pekerja, sebagaimana diperuntukkan dalam kontrak pekerjaan.

“Kutipan ini tidak terhad kepada majikan yang membuat perjanjian dengan kesatuan kebangsaan. Majikan boleh mengenakan caj itu ke atas pelanggan dengan syarat terdapat klausa mengenainya dalam terma kontrak pekerjaan,” katanya.

Ragunath yang juga bekas presiden Majlis Peguam mengakui, sukar menentukan sama ada kutipan itu benar-benar diagihkan kepada pekerja atau menjadi sebahagian keuntungan untuk majikan.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia N Gopal Kishnam berkata, pendapatan rendah pekerja dalam sektor inilah antara sebab mengapa kerajaan tidak sepatutnya memperkenalkan GST.

“Caruman bulanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja sektor ini rendah kerana gaji asas tidak termasuk bahagian yang diperoleh daripada caj perkhidmatan,” katanya.

Gopal berkata, 40% pencarum KWSP berpendapatan RM2,000 sebulan manakala 65% daripada isi rumah di Malaysia memperoleh RM3,500 sebulan.

“Semua pendapatan digunakan untuk perbelanjaan isi rumah dan mereka tak ada simpanan,” katanya, sambil menambah, GST 6% itu satu beban yang berat kerana harga barang keperluan semuanya meningkat.

Gopal berkata, cukai kepenggunaan hanya boleh dilaksanakan dalam keadaan ekonomi di mana pendapatan penduduk tinggi dan setiap ringgit yang diperoleh mampu mewujudkan kuasa membeli yang kukuh.

“Singapura memperkenalkan GST pada 1994 pada kadar 3% tetapi hari ini,, pendapatan rakyatnya tinggi dan mata wangnya kukuh,” katanya.

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kesatuan-industri-perkhidmatan-ambil-tindakan-mahkamah-majikan-henti-caj-10#sthash.zrR2Da1l.dpuf

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share