Putrajaya tidak menghormati badan kehakiman apabila bentang pindaan kepada Akta Hasutan 1948, kata bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevanasan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin

Rakyat perlu faham betapa sedikitnya rasa hormat Putrajaya terhadap badan kehakiman negara ini, kata Datuk Ambiga Sreenevasan selepas kerajaan semalam membentangkan pindaan kepada Akta Hasutan 1948, juga akan termasuk menolak ikat jamin kepada mereka yang didakwa mengikut undang-undang zaman penjajah itu.

Bekas presiden Majlis Peguam itu berkata Putrajaya nampaknya tidak peduli yang keperlembagaan akta itu sedang dicabar di mahkamah oleh ahli akademik Dr Azmi Sharom dan oleh itu, sebarang pindaan terhadapnya “sangat mengejutkan”.

Azmi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) akta itu berhubung komennya dalam satu artikel berita bertajuk “Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told”.

Pensyarah undang-undang itu kemudiannya memfailkan permohonan, mengatakan Seksyen 4 itu tidak mengikut Perlembagaan dan melanggar Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara. Kes itu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

“Akta Hasutan itu dicabar Azmi yang berhujah mengatakan ia tidak berperlembagaan dan oleh itu, terbatal dan tidak sah,” katanya dalam satu forum bertajuk “What is a Moderate Malaysia for Malaysians?” di Kuala Lumpur, malam tadi.

“Dan apa yang kerajaan lakukan sebelum keputusan mahkamah? Mereka pinda akta itu. Mereka tidak peduli apa mahkamah persekutuan kita akan katakan mengenainya. Bagi saya, ini sangat-sangat mengejutkan,” katanya.

Ambiga, yang juga penaung gerakan rakyat Negara-ku, mendakwa Putrajaya tidak membincangkan pindaan itu dengan mana-mana pihak berkepentingan, termasuk masyarakat sivil dan pihak pembangkang, sebelum membentangkan pindaan yang dianggap melampau.

“Mereka tidak beri masa (untuk perbincangan). Bagi saya, ini semua sangat melampau. Langkah melampau yang diambil kerajaan untuk menutup mulut kami,” katanya.

Ambiga turut menyentuh mengenai Akta Pencegahan Keganasan (Pota) yang diluluskan di Parlimen awal pagi semalam selepas lebih 14 jam dibahaskan, menggelarnya undang-undang dengan “peruntukan yang zalim”.

“Ia bukan saja satu olahan semula ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Mereka menambahnya,” katanya ketika berucap di depan kira-kira 150 orang. – TMI

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share