Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas penjual ikan berumur 24 tahun kerana membunuh dua pelajar perubatan warga Britain dalam satu pergaduhan pada 6 Ogos tahun lepas.

Hakim Chew Soo Ho menjatuhkan hukuman itu ke atas Zulkipli Ahmad dari Kampung Gersik, Petra Jaya selepas mendapati dia bersalah menikam mati Aiden Brunger, 23, dan Neil Gareth Dalton, 22, antara pukul 4.10 pagi hingga 4.15 pagi di sebuah hentian bas di Jalan Abell.

Kedua-dua mangsa merupakan pelajar tahun empat Universiti Newcastle di United Kingdom yang sedang menjalani latihan amali enam minggu di Hospital Umum Sarawak.

Zulkipli menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Chew berkata pihak pendakwa berjaya membuktikan dakwaan tanpa keraguan munasabah sementara pembelaan tertuduh sering tidak konsisten dan tidak boleh dipercayai.

Hakim itu berkata daripada keterangan yang dikemukakan beliau yakin tertuduh secara bersendirian menyerang kedua-dua mangsa walaupun dia berada di tempat kejadian bersama tiga lagi rakan.

Zulkipli diwakili oleh peguam yang ditugaskan Anthony Tai sementara pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad dan dibantu Poh Yin Tinn.

Turut hadir di mahkamah yang penuh sesak hari ini ialah bapa Brunger dan para pegawai Suruhanjaya Tinggi British yang enggan bercakap kepada para pemberita. – Bernama / Gambar Utusan

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share