PUTRAJAYA – Sebanyak 21 waris mangsa MH370 hari ini berkumpul di hadapan pintu protokol Bangunan Perdana Putra di sini untuk menyerahkan nota kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Sulit Kepada Pegawai Khas Perdana Menteri, Saiful Azhar yang mewakili perdana menteri, bertemu dengan kumpulan itu yang berkemeja-T merah tertera ‘Pray for MH370’ dan kemudian menerima nota berkenaan.

Menerusi seorang penterjemah, wakil kumpulan tersebut, Li Er You berkata nota itu antaranya meminta supaya kerajaan Malaysia tidak mengisytiharkan pesawat itu hilang dan kesemua penumpang dan anak kapal meninggal dunia selagi tiada bukti kukuh.

MH370 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang itu hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam, 8 Mac tahun lepas.

Pada 29 Januari lalu, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia mengisytiharkan insiden itu sebagai kemalangan berdasarkan peraturan penerbangan antarabangsa, dan kesemua 239 penumpang serta kru dianggap terkorban. – Bernama

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share