Bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman berkata keputusan kes Liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah muktamad dan ketua pendakwa raya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak perlu mengulas lagi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim

Tan Sri Abdul Gani Patail perlu mempertimbangkan pengguguran peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai timbalan pendakwa raya, ekoran sabitan hukuman melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata bekas peguam negara, Tan Sri Abu Talib Othman.

Abu Talib yang menjadi peguam negara dari 1980 hingga 1993, berkata keputusan sebulat suara panel hakim Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan Anwar pada 10 Februari lalu adalah muktamad dan komen lanjut tidak wajar dibuat.

“Mungkin sudah tiba masanya peguam negara (Gani) batalkan pelantikan Shafee kerana sebarang komen lanjut tidak diperlukan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Abu Talib berkata, keadilan sudah diberikan kepada tertuduh, Saiful dan juga masyarakat ekoran keputusan mahkamah tertinggi itu.

“Ulasan lanjut yang dibuat Shafee akan menimbulkan persepsi Anwar didakwa atas sebab politik dan ini tidak benar,” katanya.

Katanya, kes ini perlu dilihat seperti kes jenayah lain.

Talib berkata, Anwar diadili mengikut prosedur dan hukum perundangan yang sesuai selain diberikan peluang membela diri.

“Beliau diwakili kira-kira 20 peguam yang cekap,” katanya.

Tindakan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menggunakan media menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas sabitan bersalah Liwat II menerima kritikan pelbagai pihak.
Tindakan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menggunakan media menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas sabitan bersalah Liwat II menerima kritikan pelbagai pihak.

Shafee, yang pernah menjadi timbalan pendakwa raya sebelum berpindah ke sektor swasta, dilantik Gani pada 11 Julai mengetuai barisan pendakwaan dalam kes Liwat II.

Anwar bebas daripada dakwaan Mahkamah Tinggi pada awal 2012 dan pasukan pendakwa ketika itu diketuai peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin. Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lalu mengenepikan keputusan itu, dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara.

Disebabkan tarikh awal persaraan Yusof, Shafee diberi peluang mengetuai pendakwaan.

Anwar pernah tiga kali cuba menggugurkan Shafee daripada barisan pendakwaan atas alasan tidak layak, konflik kepentingan dan melanggar etika, tetapi tidak berjaya.

DAP semalam menggesa Gani menyatakan sama ada Pejabat Peguam Negara membiarkan serangan dan kritikan terhadap pesalah, ekoran kritikan Shafee terhadap ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Pengerusi Biro Perundangan DAP, Gobind Singh Deo berkata, Gani sepatutnya menasihati Shafee supaya tidak membuat sebarang komen atau kritikan terhadap Anwar.

Katanya, tindakan Shafee itu mencalar imej Pejabat Peguam Negara.

Shafee dibidas beberapa peguam apabila menyatakan Anwar cuba menyembunyikan sesuatu kerana enggan memberi keterangan di kandang saksi, sebaliknya hanya berbuat demikian dalam kandang tertuduh .

Anwar menyenaraikan 13 saksi termasuk isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tetapi peguamnya semasa perbicaraan membuat keputusan tidak menggunakannya sebagai pembelaan atas alasan kemungkinan ada antara mereka diganggu.

“Saya rasa dia boleh pengsan dalam kandang saksi kerana tidak mampu menjelaskan banyak perkara, seperti kenapa dia senaraikan saksinya sebagai alibi dan kemudian tarik balik,” kata Shafee dipetik laporan News Straits Times pada Jumaat lalu.

Shafee menyeru orang awam merujuk penghakiman bertulis yang disiarkan dalam laman web kehakiman bagi memahami bagaimana Mahkamah Persekutuan membuat keputusan, mengatakan semuanya berdasarkan fakta dan bukan pendapat yang direka pembangkang dan Majlis Peguam.

Shafee juga mencabar mana-mana pihak yang mahu membahaskan keputusan hakim, sambil berkata beliau sudah melakukan yang terbaik menyabitkan Anwar dengan niat yang jujur dan yakin sepenuhnya ketua umum PKR itu benar-benar bersalah.

Beliau juga dilaporkan sanggup bersumpah di tanah suci Mekah bagi membuktikan Anwar bersalah, katanya dalam laporan Mingguan Malaysia hari ini.

Khamis lalu, bekas presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga berkata tidak pernah berlaku sebelum ini seorang pendakwa raya menyalahkan tertuduh selepas mahkamah membuat keputusan.

Peguam Ramkarpal Singh juga membidas Shafee kerana cuba mengelirukan orang ramai dengan berkata mendiang Karpal Singh pernah menuduh Anwar mengamalkan seks songsang pada tahun 1997.

Baca lanjut di Malaysian Insider

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share