Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, antara 9 responden dinamakan balu mendiang P Balasubramaniam dalam tuntutan saman. Mahkamah Rayuan tahun lepas membatalkan saman tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insider

Isteri kepada mendiang P Balasubramaniam, penyiasat persendirian yang menjadi saksi perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, terus berdepan halangan mengembalikan saman RM2 juta terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan 7 yang lain atas kesengsaraan dialaminya ketika hidup dalam buangan di India.

Tuntutan itu ditetapkan untuk pengurusan kes minggu depan di Mahkamah Rayuan, tetapi A Santamil Selvi menerima halangan ekoran bantahan pihak responden.

Tuntutan itu dijangka boleh mendedahkan peranan responden dalam penghantaran keluarganya dalam buangan susulan kontroversi berkaitan dua akuan berkanun oleh Balasubramaniam membabitkan Altantuya dan Najib.

Peguam Santamil, Americk Sidhu berkata salah seorang peguam kepada 9 responden itu mahu balu berkenaan memfailkan 7 notis berasingan kerana 7 firma guaman terbabit mewakili responden.

Hujahannya ialah dengan memfailkan hanya 1 notis terhadap semua 9 responden, rayuannya di Mahkamah Rayuan dianggap rosak.

“Ini mengarut dan ia adalah cubaan untuk menambah perbelanjaan kewangan anak guam saya kerana setiap notis rayuan perlu disertakan dengan deposit RM1,000,” kata Americk kepada The Malaysian Insider.

P Balasubramaniam (tengah) ditemani peguam Americk Sidhu (kiri) dan Manjeet Singh Dhillon, ketika bercakap kepada wartawan di London pada 2010. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 Februari, 2015.
P Balasubramaniam (tengah) ditemani peguam Americk Sidhu (kiri) dan Manjeet Singh Dhillon, ketika bercakap kepada wartawan di London pada 2010. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 Februari, 2015.

Americk berkata dia memfailkan hanya 1 notis rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi pada 11 Disember yang membenarkan semua 9 responden membatalkan tuntutan Santamil.

Notis rayuan itu difailkan pada 8 Januari dan Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes pada 24 Februari.

“Saya akan membangkitkan isu memfailkan lebih 1 notis rayuan di hadapan pendaftar Mahkamah Rayuan untuk memastikan permohonannya didengar tanpa sekatan,” katanya.

Selain Najib dan Rosmah, defendan lain yang berjaya membatalkan tuntutan itu ialah adik Najib, Datuk Ahmad Johari Abdul Razak dan Datuk Mohd Nazim Abdul Razak, peguam kanan Tan Sri Cecil Abraham, anaknya Sunil Abraham, pesuruhjaya sumpah Zainal Abidin Muhayat, peguam M Arulampalam dan pengedar permaidani Deepak Jaikshan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hasnah Mohamed Hashim berkata Santamil kekurangan kelayakan untuk memfailkan sebagai tindakan bagi pihak mendiang suaminya.

“Tidak ada keadaan khas untuk membenarkan merit tuntutan itu didengar kerana dia tidak mempunyai lokus standi,” kata Hasnah.

Susulan keputusan mahkamah itu, Santamil tidak boleh membawa saksi dan menyerahkan dokumen untuk membuktikan kesnya terhadap 9 responden terbabit.

Tuntutan itu dikatakan mendedahkan peranan mereka dalam urusan menghantar penyiasat persendirian itu, yang lebih dikenali sebagai PI Bala, dan isterinya serta tiga anak mereka hidup dalam buangan, jika perbicaraan dibenarkan.

Ia juga termasuk sebab Bala dipaksa menarik semula keterangan bersumpahnya yang mendakwa pembabitan Najib dengan Altantuya, dan mengapa dia dan keluarga dipaksa meninggalkan negara untuk hampir lima tahun pada 2008.

Balasubramaniam meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac, 2013, beberapa minggu selepas dia sekeluarga pulang dari India.

Santamil dan tiga anaknya dalam afidavit mereka kepada mahkamah berkata mereka kesuntukan masa kerana had tempoh 6 tahun memfailkan tindakan berakhir pada 2 Julai, tahun lalu.

Santamil, yang memfailkan writ dan kenyataan tuntutan pada 9 Jun lalu, turut memohon mengambil surat kuasa terhadap harta pusaka mendiang suaminya.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Najib dan Rosmah, dan peguam responden yang lain, berkata Santamil tidak layak kerana dia masih belum memperoleh surat kuasa itu.

Dalam tuntutan itu, keluarga berkenaan berkata semua defendan menyebabkan akuan berkanun kedua Bala “didrafkan tanpa arahan si mati dan menyebabkan si mati menandatangani di bawah ancaman dan dorongan yang sama”.

Bala adalah saksi dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya. Dia meninggalkan Malaysia tergesa-gesa selepas menandatangani akuan berkanun kedua pada 2008, menarik balik keterangan pertama mengaitkan Najib dengan Altantuya.

Keterangan kedua itu didakwa bertujuan membersihkan pembabitan perdana menteri dalam kes itu.

Bala yang diupah penganalisis politik dan kenalan Najib, Abdul Razak Baginda, memantau Altantuya, menjadi perhatian apabila menarik balik akuan berkanun pertama mengenai perkara itu pada 4 Julai, 2008.

Dalam akuan berkanun kedua, Bala berkata dia berhasrat “menarik balik keseluruhan kandungan dalam akuan berkanun pertama saya bertarikh 1 Julai, 2008. Saya dipaksa untuk menyatakan perkara itu dalam akuan pertama dalam keadaan dipaksa”.

Mahkamah Persekutuan pada 12 Januari lalu menjatuhkan hukuman mati terhadap dua bekas komando polis – Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar – dalam pembunuhan Altantuya.

Sirul yang meninggalkan negara sebelum hukuman itu, kini berada di Australia dan ditahan di pusat tahanan imigresen susulan notis merah Interpol.

Dia dijangka melawan sebarang cubaan kerajaan Malaysia mengekstradisinya. Australia dipercayai tidak akan menghantarnya pulang kerana polisi negara itu terhadap hukuman mati.

Baca lanjut di Malaysian Insider

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share